Publish : Sun, 06/Sep/15 06:13:45 AM |
Views : 4656 |
Mula dikenali di YouTube melalui lagu Havoc kemudian merakamkan lagu Knock Knock, penyanyi Elizabeth Tan, 22, kini dalam persiapan untuk menerjah pasaran luar negara.
Baru melancarkan single terbaru, Setia duet bersama Faizal Tahir, penyanyi berasal dari Taman Melawati, Kuala Lumpur dan pernah belajar di Dallas, Amerika Syarikat selama dua tahun, tidak menyasarkan sejauh New York atau Paris.
Sebaliknya Elizabeth atau Tan Su Mei dan mesra dengan panggilan Lizzy, dipilih syarikat rakamannya, Faithful Music Malaysia, untuk menjengah pasaran Indonesia.
Lizzy akui masih terkejut dengan berita disampaikan pengurusnya dan enggan meletak harapan terlalu tinggi kerana difahamkan ia masih dalam peringkat perbincangan.
Katanya, dia juga sebenarnya masih trauma dengan isu dulu apabila ada pihak mempertikai kemampuan vokalnya.
“Saya akui vokal saya tidak sehebat penyanyi lain dan kena terima kritikan itu. Ia tidak buatkan saya serik, sebaliknya menguatkan lagi usaha saya untuk memperbaiki kelemahan.
“Pada masa ini, saya masih mengikuti kelas vokal dan selepas ini kelas tarian pula,” katanya bersemangat.
Katanya, dia pernah menangis apabila sering dijadikan bahan jenaka hanya kerana dia gagal memberi persembahan terbaik suatu ketika dulu.
Pun begitu, dorongan daripada keluarga, syarikat pengurusan dan peminat tempatan yang percaya dia mampu memberi satu kelainan dalam industri, anak bongsu daripada tiga beradik ini mula bangkit mengatur langkah baru.
“Selepas melihat sambutan menggalakkan lagu Knock Knock, saya dapat lihat arah tuju muzik bersandarkan kemampuan tahap vokal saya selepas ini.
“Tapi untuk menjadikan ia ekstra, saya kena ada kualiti tambahan, yakni menari. Saya mungkin muncul dengan genre muzik ‘Mpop’ tahun depan,” katanya berseloroh.
Katanya, kelas vokal dimulakan pada Jun lalu, cuma kelas tarian masih menantikan masa sesuai.
Pada masa ini, aktiviti itu terpaksa ditangguhkan seketika kerana terbabit dengan beberapa projek kempen dan promosi filem terbarunya, Usop Wilcha Mengongjang Makhluk Muzium.
Manakala pada hujung bulan ini, Lizzy akan terbang ke United Kingdom untuk memenuhi undangan persembahan bagi acara perasmian sebuah hotel berprestij di negara itu.
“Selepas balik dari UK, baharu saya kembali fokus pada kelas vokal dan tarian. Saya nak belajar menari tarian berkaitan pop dan sedikit hip hop.
“Peminat menyukai saya menyanyi dan menari pada masa sama. Kata mereka, ia lebih menghiburkan. Satu hari nanti, saya mahu menjadi seperti Stacy yang mampu menyanyi dan menari dengan baik,” katanya yang juga mahir bermain ukelele.
Seronok bercerita mengenai aktiviti kelas, Lizzy ditembak dengan isu gosip yang pernah melandanya sebelum ini.
Mungkin memahami selok-belok permainan industri, Lizzy akui akan mengelak bertembung dengan gosip baru.
Katanya, biarpun gosip terdahulu tidak terlalu memberi kesan kepada kerjanya ia tetap memberi sudut pandang berbeza pada prospek klien serta kempen yang akan dilakukan.
“Kalau dulu ada gosip, saya akan sedih atau mungkin melatah. Tapi sekarang, kalau ada gosip baru, mungkin saya gelak sajalah.
“Saya tidak mahu ia memberi kesan kepada kerja dan keluarga saya. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati, takut timbul isu lain pula,” katanya.
Lizzy akui sejak semakin sibuk dengan kerjaya dan dihimpit isu serta gosip liar, keluarganya mula risau. Apatah lagi dia sering pulang lewat malam, makan tidak menentu dan perlu bekerja hampir sepanjang hari tanpa rehat secukupnya.
Dalam kerisauan, Lizzy ibarat terpaksa lakukan juga setiap kerja seni kerana itu menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya.
Bunyinya mungkin seolah-olah terpaksa tapi di sebalik keterpaksaan melakukan semua perkara itu, dia tetap bersyukur dan gembira.
“Ia seolah kamu penat melakukannya sampai menangis tapi kamu buat juga sebab ia tanggungjawab. Pada masa sama, kamu sukakannya.
“Selagi masih mampu bertahan, saya akan terus kekal dalam industri seperti dirancang,” katanya.
Filem Usop Wilcha Mengongjang Makhluk Muzium arahan Mamat Khalid mula ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu. Ia mengisahkan pameran hantu dunia dalam usaha menarik orang ramai kembali datang ke muzium.
Penganjuran pameran hantu dunia ini tanpa disedari dirancang pihak tertentu untuk menghidupkan Count Dracula. Kehidupan abadi diinginkan Dracula akan menyebabkan keadaan negara menjadi huru-hara.