Publish : Thu, 22/Sep/16 11:04:12 AM |
Views : 4449 |
Dituduh dengan pelbagai dakwaan hanya kerana tidak hadir ke majlis perkahwinan Saharul Ridzwan baru-baru ini, Mia Ahmad menjelaskan bahawa dirinya tidak mendapat jemputan dari pihak pengantin lelaki dan bukan kerana isu peribadi seperti yang tersebar. Bagi mengelakkan timbulnya salah faham, Mia tampil memberi penjelasan untuk mempertahankan diri.
“Saya tidak mahu orang lain fikir yang bukan-bukan. Sampai ada antara komen di dalam laman sosial yang saya rasa patut ditujukan kepada pengantin lelaki sahaja. Memang saya tidak dijemput malah saya tidak kisah pun. Kalau tiada jemputan, macam mana kita hendak hadir. Inilah jawapan paling tepat untuk merungkai segala persoalan sinis netizen yang bertanya ”
“Kemudian timbul pula perbandingan mengapa pelakon lain ada, saya tiada. Siap mendakwa kalau sudah kata kawan baik mengapa kenapa tidak hadiri majlis itu. Komen lain pula berbunyi, kata profesional, kenapa mengelak. Mulalah naik pula nama Mira Filzah yang tidak pernah berlakon dengan Saharul pun nampak kelibat,” katanya kepada Berita Harian Online.
Sebelum ini, Mia yang pernah bergandingan dengan Saharul menerusi drama Hati Perempuan pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta lokasi. Bagaimanapun masing-masing menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa mereka hanya berkawan baik sahaja. Namun tindakan Mia tidak menghadiri hari bahagia Saharul mengundang pelbagai spekulasi negatif.