Publish : Thu, 12/May/16 01:42:52 PM |
Views : 3135 |
Umum sudah mengetahui bahawa filem pecah panggung Munafik arahan Syamsul Yusofsememangnya menjadi kegemaran ramai. Pun begitu, ada pihak mendakwa bahawa dialog yang digunakan untuk menyeru syaitan didalam filem itu adalah ayat seruan yang sebenar.
Memetik Siakap Keli, terdapat seorang pengguna Facebook mengatakan ayat seruan yang dibacakan oleh Pak Osman didalam filem terbabit adalah ayat yang sebenar, tanpa mempunyai sedikit pun cacat celanya. Dengan itu beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menonton cerita itu dirumah jika tidak jin akan datang memenuhi kediaman.
Oleh kerana khabar angin itu sudah menjadi viral di media sosial, laman Instagram pengarah terkenal, Syamsul Yusof turut tidak ketinggalan diserbu dengan pelbagai pertanyaan mengenai kesahihan dakwaan itu. Rata-rata memang ramai yang berminat dan ingin mengetahui sejauh mana kebenaran ayat seruan itu serta kesannya apabila didengar.
Sejurus selepas itu, Syamsul tampil menjelaskan kepada peminat filem itu bahawa bacaan yang digunakan itu adalah tidak sahih dan hanya rekaan semata-mata. Malah pesan Syamsul lagi, kita sebagai Muslim jangan terlalu taksub atau percaya dengan melampau terhadap sesuatu perkara.