Publish : Wed, 03/Feb/16 09:13:06 AM |
Views : 5215 |
Pelakon Sara Ali yang baru sahaja berhijab pada bulan Januari lalu, memberitahu memakai tudung adalah seperti menjaga maruah seorang wanita.
“Kalau sudah pakai tudung ianya seperti menjaga maruah kita sendiri. Benda tersebut sangat berharga dan wajib untuk kita ikut. Tetapi kalau hidayah tak sampai ke atas diri kita nak buat macam mana’kan?”
“Sebelum ini ada yang komen mengenai pemakaian tudung semua itu saya malas nak layan sebab ini semua ketentuan daripada Allah,” katanya yang ditemui di Majlis Gong Xi Raya, anjuran Paranormal Talent petang kelmarin.
Terdahulu, Sara Ali menjelaskan dia terdetik untuk mengenakan tudung atau hijab sudah sekian lama tetapi belum ada masa yang sesuai. Setelah mendapat hidayah beberapa hari sebelum menjengah ke tahun 2016, dia sudah yakin dan nekad untuk memakai tudung sepenuhnya.
“Saya mendapat hidayah dan setelah itu jiwa saya untuk berlakon hilang serta merta, sudah rasa tidak mahu berlakon lagi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, karakter yang diberikan untuknya sentiasa berulangan menyebabkan dia kini kurang berminat untuk berlakon seperti sedia kala. Tetapi tidak menolak sekiranya mempunyai skrip atau karakter yang bersesuaian dengan imejnya yang terkini.
Dalam pada itu, Sara Ali kini sibuk mengembangkan bisnesnya untuk membantu usahawan-usahawan Melayu amnya dalam menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.