Publish : Wed, 09/Sep/15 12:10:05 PM |
Views : 3562 |
Pengarah dan penerbit terkemuka, Mamat Khalid sememangnya dikenali menerusi filem-filem komedi bersahaja seperti 'Man Laksa', 'Zombi Kampung Pisang', 'Hantu Kak Limah Balik ke Rumah' dan banyak lagi. Terbaru, dia juga turut menerima anugerah Lakon Layar Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 baru-baru ini.
Namun begitu, khabarnya, Mamat Khalid bakal muncul dengan sedikit kelainan dalam filem garapannya yang akan datang.
"Saya sudah banyak menghasilkan filem-filem komedi dan genre itu, sememangnya sudah sinonim dengan nama saya. Jadi, untuk tahun depan, saya akan muncul dengan sebuah filem yang berkiblatkan, keagamaan.
"Filem yang diberi judul 'Lebuhraya Ke Neraka' ini merupakan kolaborasi antara saya dan juga Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato' Seri Hj. Harussani bin Hj Zakaria. Dari judulnya, tentu ramai dapat mengagak bahawa filem ini memang berbeza berbanding filem-filem saya sebelum ini," katanya ketika ditemubual.
MUFTI BERI NASIHAT
Ditanya mengenai pembabitan Mufti Negeri Perak dalam penghasilan filem 'Lebuhraya Ke Neraka' ini, Mamat memberitahu bahawa dia sememangnya tidak mahu mengambil ringan apabila menyelitkan unsur keagamaan ke dalam filem.
"Oleh sebab itu, saya menerima khidmat nasihat daripada Mufti sendiri kerana filem ini berkaitan agama dan turut menyelitkan unsur-unsur lain seperti berdialog bersama syaitan dan sebagainya," ulasnya.
'Lebuhraya Ke Neraka' yang dijangka bakal ditayangkan pada Februari 2016 itu turut menampilkan beberapa nama besar seperti Awir, Khir Rahman, Shahz Jaszle dan ramai lagi. Sama-sama kita nantikan.