Publish : Wed, 09/Mar/16 04:44:38 PM |
Views : 4608 |
Dengan jumlah pengikut lebih 1.5 juta di Instagram sahaja, boleh kami katakan yang Lara Alanakini merupakan selebriti kecil yang sering mendapat perhatian ramai setiap kali gambarnya dimuat naik ke laman sosial.
Tidak hairanlah dengan populariti tersebut, anak kepada pasangan Awal Ashaari dan Scha al-Yahya ini khabarnya bakal muncul dengan program realiti TV beliau sendiri tidak lama lagi — makin seronok peminat melihat telatah si kecil ini di televisyen kelak.
“Kami mendapat tawaran untuk membuat sebuah program TV dengan konsep ke-ibubapaan. Bagaimanapun masih tidak tahu sama ada berbentuk realiti atau tidak memandangkan masih dalam proses perbincangan,” ujar Awal Ashaari kepada Utusan Malaysia hari ini.
“Bukan mahu melabel kami sebagai ibu bapa yang terbaik, namun diberi peluang untuk berkongsi cara kami membesarkan Lara Alana, tentunya ini adalah satu kegembiraan. Kami sangat teruja kerana dapat berkongsi dan menyumbang kepada mereka yang sentiasa mahu tahu bagaimana kehidupan kami sekeluarga”
Pasangan ini turut mendedahkan yang mereka banyak menerima e-mail daripada peminat yang mahu mereka kongsikan tips atau cara menjaga anak kecil seperti Lara Alana dan merasakan sebuah program TV untuk berkongsi perkara tersebut adalah sesuatu yang tepat.
“Saya tidak melihat ada salahnya jika kami berkongsi perkara yang kami lalui untuk ibu bapa di luar sana,” tambahnya lagi.