Publish : Thu, 01/Sep/16 05:21:03 PM |
Views : 3275 |
BAGAIKAN trend kini apabila selebriti tempatan mula tampil dengan jenama sendiri seperti pakaian, minyak wangi dan banyak lagi bukan sahaja untuk dijual kepada peminat, tetapi juga pada mereka yang berminat.
Dan terbaharu, pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, 43, melancarkan rangkaian wangiannya yang diberi nama Loveable dan Forget Me Not, baru-baru ini.
Lebih istimewa wangian tersebut dihasilkan dengan kerjasama syarikat Hot Perfumes & Air Fresheners Industries Sdn Bhd dari United Kingdom dan berstatus halal.
Biarpun sudah ramai selebriti lain yang sudah tampil dengan wangian sendiri, ia bukan penghalang buat Primadona Malaysia ini menghasilkan benda yang sama.
“Saya sedar sudah ramai selebriti yang mengeluarkan produk wangian dan ia bukan satu masalah buat saya kerana itu rezeki masing-masing.
“Lagipun setiap orang mempunyai selera masing-masing. Kalau saya sendiri mempunyai lebih 100 koleksi minyak wangi, saya rasa tidak mustahil orang lain juga begitu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran minyak wanginya, baru-baru ini.
Namun bukan mudah buat anak jati Rawang, Selangor ini menghasilkan wangian sendiri dan dia hampir berputus asa untuk meneruskan impiannya ini.
“Saya akui hampir berputus asa untuk mengeluarkan wangian sendiri kerana beberapa faktor melibatkan kos, bauan dan banyak lagi. Jadi, apabila pihak Hot Perfumes membuka jalan untuk saya, saya berasa sangat lega.
“Bagaimanapun ia tetap bukan mudah awalnya kerana ada wangian yang saya mahu, tidak ada pula, kemudian botol, tapi saya lega apabila ia akhirnya telah siap sepenuhnya,” katanya.
Ditanya idea dan inspirasi menghasilkan minyak wangi ini, Erra berkata, segalanya bermula selepas melihat Rozita Che Wan melancarkan minyak wangi tahun lalu.
“Saya terfikir mengapa tidak saya pun berbuat demikian. Dalam masa yang sama, saya mahu menghadiahkan sesuatu yang istimewa untuk peminat,” katanya.
Erra berkata, untuk permulaan, dia mengeluarkan 20, 000 botol wangian dan pertambahan pengeluaran bergantung kepada jumlah permintaan selepas ini.
“Sama seperti artis lain, saya juga menjual minyak wangi ini melalui laman sosial dan stokis. Untuk kumpulan pertama, saya hanya keluarkan 20,000 dan selepas ini semuanya bergantung kepada pesanan,” jelasnya.
Tak peduli kritikan
Dalam pada itu, ditanya mengenai kritikan sesetengah pihak terhadap anaknya baru-baru ini yang dikatakan kurang fasih berbahasa Melayu, Erra berkata, dia tidak mempedulikan kata-kata negatif sesetengah pihak.
“Saya tidak nafikan Aleesya lebih selesa dan kami sendiri berinteraksi menggunakan bahasa Inggeris dengannya. Jadi, saya kini sedang cuba menyeimbangkan keduanya.
“Tapi dia masih budak lagi dan tidak perlulah menilai dia hanya kerana dia kurang fasih berbahasa Melayu.
“Apa saya pentingkan adalah dunia dan akhiratnya seimbang. Yang mana tampil dengan komen negatif saya biarkan sahaja,” katanya.