Publish : Tue, 15/Sep/15 02:21:51 PM |
Views : 4293 |
Di laman sosial, ramai yang memperkatakan mengenai 'drama' terbaru yang katanya dicipta oleh pihak Astro, bagi mendapatkan perhatian masyarakat kepada program AF2015.
Namun begitu, MH sebentar tadi berkesempatan menghubungi Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad bagi mendapatkan kepastian mengenai hal ini.
"Ini bukan 'drama' yang sengaja kami cipta. Pihak Astro sendiri juga tidak menjangkakan hal sebegini berlaku. Kami juga terkejut apabila Rozita Che Wan memaklumkan mengenai penarikan diri daripada kerusi juri itu, selepas konsert minggu lalu." kata Raqim.
Menurutnya lagi, pihaknya memahami situasi yang berlaku adalah disebabkan perselisihan pendapat dan perkara itu tidak dapat dielakkan dalam memberi kritikan berhubung seni.
"Seni muzik itu adalah subjektif. Begitu juga dengan nyanyian. Jadi, ada yang akan suka, dan ada yang tidak akan suka. Sebelum ini juga pernah berlaku persengketaan di antara juri dan pengetua Akademi Fantasia musim sebelum ini, namun tidaklah sehingga ke tahap apa yang berlaku pada minggu lalu," jelasnya.
Ditanya mengenai pengganti Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa sebagai Che Ta itu, Raqim belum dapat memberikan sebarang nama.
"Kami masih dalam perbincangan. Perkara ini baru sahaja berlaku dan dengan sangat pantas. Jadi, kami masih memikirkan mengenai nama yang sesuai.
"Kami menghormati keputusan Che Ta untuk menarik diri. Pilihan untuk mengambil Che Ta sebagai juri sebelum ini, adalah pilihan yang tepat dan tidak salah," katanya lagi.
Mengenai kriteria bakal pengganti Che Ta, Raqim memaklumkan bahawa posisi Che Ta sebelum ini di kerusi juri adalah sebagai mewakili para penonton. Oleh itu, bakal penggantinya tentulah seseorang yang juga punya suara yang mampu mewakili penonton.