Publish : Tue, 04/Oct/16 11:43:20 AM |
Views : 4798 |
Mengatasi beberapa pesaing hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza dan meraih kemenangan besar di Anugerah Planet Muzik (APM 2016), ramai yang mempertikaikan kemenangan Ayda Jebat. Malah ada yang mendakwa beliau membeli undi daripada penajanya, usahawan syarikat, Datuk Rafiena Ezanee Ramli yang juga menjadikan pelakon itu sebagai duta produk kosmetik House Of Dre.
“Mereka sanggup lakukan apa saja termasuk sanggup tidak tidur untuk terus mengundi saya. Mereka memang luar biasa. Tidak adil untuk mempertikaikan kemenangan itu dan bising-bising kalau tidak berusaha atau dalam kata lain tak mengundi,” katanya kepada Projek MMO mengenai dakwaan mengatakan beliau membeli undi sehingga memenangi tiga trofi di APM 2016.
Sementara itu, kemenangan Ayda menjadi pertikaian kerana beliau terlebih dahulu dilantik sebagai wajah siri wangian Charisma Luxe yang dipasarkan Rafiena beberapa bulan lalu. Spekulasi berterusan apabila Rafiena juga ada membuat penajaan pada malam penganugerahan itu sehingga membuatkan orang ramai menganggap beliau meletakkan Ayda sebagai pemenang.
Bagaimanpun ketika diminta mengulas mengenai isu ini, Rafiena menafikan pihaknya menaja penyanyi terbabit. Malah katanya lagi kemenangan yang dimiliki Ayda adalah usaha kerasnya sendiri. Jika ingin dikaitkan dengan soal penajaan pula, pihaknya menaja produk spa pada malam anugerah tersebut dan bukan siri wangian yang membabitkan Ayda sebagai duta produk.
Terdahulu, Ayda merangkul tiga kemenangan menerusi kategori undian peminat iaitu Artis Paling Popular APM, Lagu Paling Popular, dan Ikon Media Sosial, sekaligus mengalahkan beberapa penyanyi hebat. Kontroversi ini bukanlah kali pertama terjadi pada Ayda, sebelum ini beliau juga pernah dituduh sedemikian apabila memenangi kategori penyanyi MeleTOP Febuari lalu.