Publish : Sat, 12/Sep/15 09:20:08 PM |
Views : 5861 |
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah mencipta kenangan manis untuk industri perfileman negara apabila telah turut sudi untuk berlakon di dalam filem 'Kapsul'. Filem 'Kapsul' yang merupakan karya asal Allahyarham Martias Ali yang akan ditayangkan pada 17 September ini, merupakan sebuah filem tentang perjuangan dan Wawasan 2020.
"Ini merupakan pengalaman pertama saya berlakon. Saya jarang menonton wayang, tetapi lebih kepada menonton televisyen. Kalau filem, saya sukakan filem berkaitan teknologi canggi. Untuk filem 'Kapsul' ini, saya diberi skrip pada hari latihan dijalankan. Dua ke tiga kali ambilan, barulah berhasil," kata beliau yang turut mengakui, masih merasai rasa gementar ketika berlakon.
Ditanya pendapatnya mengenai jalan cerita filem ini, Tun Dr Mahathir yang turut ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah menggambarkannya sebagai sebuah filem yang baik, serta sarat dengan mesej untuk memupuk semangat cintakan negara dalam diri penonton.
"Rakyat sekarang kurang tahu mengenai perjuangan kerana mereka lahir, dalam keadaan negara yang sudah sedia maju. Menerusi filem ini, kita dapat menyemai semangat dan memupuk jiwa anak-anak Melayu. Saya tidak pernah menilai filem. Lagi pula, kemunculan saya dalam filem 'Kapsul' ini, sekejap sahaja. Saya tidak pernah berlakon, jadi tidak tahu sama ada sesuai atau tidak," tambahnya lagi.
Tun Dr Mahathir turut memuji skrip dan karya asal penulis, Allahyarham Martias Ali yang katanya, dapat 'membaca' apa yang akan berlaku di masa hadapan dalam perjalanan ke tahun 2020.
"Penulis seolah-olah sudah boleh membaca apa yang akan berlaku ketika negara menghampiri Wawasan 2020," jelasnya.
"Saya nak menonton filem ini kerana ia berkenaan diri sendiri. Ada pelajaran daripada filem ini berkaitan perjuangan orang Melayu di zaman perubahan. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan filem ini," katanya lagi.
Diilhamkan daripada kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam sendiri oleh Tun Dr Mahathir suatu ketika dahulu, 'Kapsul' mengisahkan perjalanan Zohri Ibrahim lakonan Faizal Hussien yang secara tidak sengaja dibawa mengembara ke zaman silam di mana dia dapat menyelami sendiri perubahan zaman daripada sebelum merdeka sebelum kembali ke zamannya.
Bagi pelakon utama, Faizal Hussien pula, dia mengakui sangat teruja dan bersyukur apabila dapat berlakon dalam satu babak bersama mantan Perdana Menteri kesayangan negara itu.
"Saya tidak pernah bermimpi untuk dapat berlakon bersama dengan Tun. Syukur, dan sangat sangat gembira," jelas pelakon versatil itu.
Kepada para pencinta filem Melayu, jangan lupa untuk bersama-sama menggegarkan pawagam berhampiran mulai 17 September akan datang dan tonton filem 'Kapsul' ini.